SEPANG:Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyarankan agar pentadbiran Mahkamah Syariah di negara ini memberi keutamaan terhadap penggunaan teknologi.

Beliau berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan sebahagian besar sektor penting negara ini ditutup bagi mengekang penularan COVID-19, turut memberi impak kepada sistem perundangan itu.

Beliau berkata, banyak perkara yang boleh dipelajari daripada episod pandemik COVID-19, termasuk bagaimana memastikan institusi kehakiman, termasuk perundangan Syariah, terus berjalan dengan lancar.

“Pada hemat saya, pengalaman yang kita perolehi daripada episod pandemik COVID-19 menunjukkan bahawa penggunaan teknologi merupakan satu kewajipan.

“Tanpa teknologi, pentadbiran sistem kehakiman Islam boleh terencat dan seterusnya menghalang pelaksanaan keadilan yang merupakan suatu tuntutan agama. Ini adalah sebahagian daripada norma baharu dalam pentadbiran kehakiman Islam yang mesti diberikan tumpuan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara 2020, di sini hari ini.

Persidangan tiga hari yang bermula semalam itu, menyaksikan tokoh-tokoh perundangan Islam Malaysia dan negara serantau, membentangkan kertas kerja mereka mengenai cabaran, dan penyelesaian yang boleh diserap dalam norma baharu.

Antara nama-nama besar yang menjadi menjadi tumpuan ialah, Ketua Hakim Syarie Brunei Pehin Seri Awang Salim Besar).  Presiden Kanan Mahkamah Syariah Singapura  Alfian Yasrif Kuchit, dan  Ketua Kamar Agama Mahkamah Agung Indonesia Dr Amran Suadi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, prinsip Maqasid Syariah walaupun pada zahirnya tidak dinyatakan sebagai kerangka panduan tindakan menangani COVID-19, namun ia sebenarnya telah menjadi prinsip panduan yang menggerakkan usaha kerajaan melawan pandemik itu.

“Dalam memelihara nyawa, seperti mengelakkan daripada penularan pandemik COVID-19, keputusan dan tindakan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan PKP adalah hakikatnya merupakan pengaplikasian prinsip maqasid syariah. 

“Dengan statistik pertambahan pesakit dan juga kematian akibat pandemik ini, masyarakat sudah tentu memahami bahawa prinsip memelihara nyawa itu amat penting,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata, sebagai pemerintah, menjadi tanggungjawab kerajaan yang prihatin untuk mengelakkan penularan wabak berbahaya ini yang boleh membawa kematian kepada rakyat.