Rakyat Sabah dikecualikan daripada membayar bil air selain diberikan diskaun 30 peratus untuk bil elektrik selama tempoh tiga bulan mulai April ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan berkata, pengecualian bayaran bil air dan diskaun untuk bil elektrik itu adalah sebahagian daripada inisiatif diperkenalkan di bawah Pakej Bantuan COVID-19 Sabah sebagai usaha meringankan beban dan kos sara hidup rakyat yang terjejas berikutan penularan jangkitan wabak itu.

"Bagi meringankan beban dan kos sara hidup rakyat pada keseluruhannya, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk mengecualikan pembayaran bil air kepada semua pengguna air domestik untuk tempoh 3 bulan bermula bulan April ini.

"Langkah ini akan memberi faedah kepada seramai 335,000 pengguna air domestik di Sabah dan W.P Labuan.

"Selain itu, diskaun 28 peratus akan diberikan bagi pembayaran bil elektrik untuk tempoh tiga bulan mulai April sebagai tambahan kepada diskaun dua peratus diumumkan kerajaan Persekutuan," katanya.





Mohd Shafie berkata demikian dalam pengumuman Pakej Bantuan COVID-19 Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu, pada Rabu.

Berpaksikan 'People Centric', pelaksanaan Pakej Bantuan COVID-19 Sabah bernilai RM670 juta dijangka mampu meringankan beban rakyat di negeri ini yang terkesan akibat impak wabak berkenaan.

Sebanyak 15 pakej diperkenalkan, membabitkan tiga kategori utama iaitu bantuan kepada petugas barisan hadapan, bantuan rakyat terjejas dan memperkukuh peniagaan serta infrastruktur, kemudahan asas luar bandar.

Beliau dalam pada itu berkata, untuk membantu golongan peniaga kecil yang terjejas, pihaknya turut memperuntukan RM40 juta untuk skim kredit peniaga-peniaga kecil sebagai usaha membantu tersebut menerusi penyediaan dana melalui Perpadanan Pinjaman Sabah.

Manakala bagi industri kecil dan sederhana (SME) pula, sebanyak RM50 juta diperuntukkan dengan menawarkan kadar faedah serendah 3.5 peratus bagi memastikan industri tersebut terus berdaya tahan dalam tempoh ini.