Impak COVID-19 merupakan peluang terbaik untuk pihak berkaitan menetapkan semula sistem pendidikan di negara ini, terutamanya dalam memasukkan elemen normal baharu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengurus Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Ya Shin Wan, berkata beberapa kekangan dapat dilihat apabila kerajaan mengumumkan polisi pembelajaran dan pengajaran (PnP) dari rumah dan pihak berkepentingan harus bertindak lebih proaktif mengatasi cabaran berkenaan.

Dalam laporan IDEAS bertajuk “Pendidikan ketika COVID-19”, Shin Wan berkata, COVID-19 menunjukkan jurang digital yang sangat besar di kalangan pelajar.

“Dari sudut akses pembelajaran dalam talian, prasyaratnya adalah Internet dan peralatan digital yang mencukupi. Di kawasan bandar, timbul isu pelajar tidak dapat menjalani pembelajaran dalam talian kerana terpaksa berkongsi peralatan digital selain kelajuan Internet yang perlahan.

“Di luar bandar dan pedalaman seperti perkampungan orang Asli di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, akses Internet sangat terhad. Malah masih ada perkampungan yang tidak mempunyai bekalan elektrik atau hanya memperolehnya pada waktu malam sahaja,” katanya lagi.

Selain itu, Shin Wan berkata, untuk memastikan keberkesanan pembelajaran dalam talian, ibu bapa juga harus diberi tunjuk ajar dan garis panduan yang bersesuaian.

“Kanak-kanak yang ibu bapa mereka tidak begitu celik IT akan mengalami kesukara dan akhirnya terpaksa mencari jalan sendiri bagaimana menggunakan platform digital ini,” katanya menambah terdapat juga guru yang tidak begitu mahir dalam pembelajaran dalam talian.

“Dalam sistem sebelum ini, guru hanya menggunakan pembelajaran dalam talian sebagai ‘supplementary’ atau tambahan kepada silibus sedia ada. Kini ia adalah satu-satunya pilihan yang mereka ada,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shin Wan berkata, sekolah sebelum ini juga menjadi tempat untuk murid-murid, khususnya yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan makanan yang berkhasiat.

“Kini, dengan pelaksanaan PKP di seluruh negara, sekolah-sekolah telah ditutup dan murid-murid yang datang dari keluarga susah, mempunyai risiko lebih tinggi untuk lapar dan akhirnya akan mengganggu pembelajaran mereka.

“Golongan pelajar ini yang terpaksa tinggal di rumah sahaja sepanjang tempoh PKP, secara semula jadinya akan mengalami penyusutan dari segi fizikal dan emosi,” Shin Wan berkata,

Justeru, jelas beliau lagi, adalah amat penting bagi pihak berkepentingan terutama Kementerian Pendidikan untuk merangka strategi yang mantap dan menyeluruh.