Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) hari ini menghantar bantuan peralatan kesihatan dan perubatan untuk kegunaan petugas barisan hadapan di Sabah, khususnya kakitangan hospital dan klinik yang sedang berusaha membendung penularan COVID-19.

Antara peralatan kesihatan dan perubatan dihantar ialah lebih 20,000 helai penutup hidung dan mulut; 1,000 sarung tangan; 280 unit peralatan perlindungan diri (PPE); 98 botol cecair pembasmi kuman; dan 30 unit thermometer yang akan diagihkan ke klinik kesihatan serta hospital sekitar Kota Kinabalu.

Kesemua peralatan kesihatan dan perubatan itu dihantar menggunakan pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di sini, Naib Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Heng Aik Cheng berkata, pihaknya akan terus komited memastikan bekalan peralatan perubatan untuk petugas barisan hadapan khususnya di Sabah mencukupi.

Sementara itu, Pengerusi Mercy Malaysia Sabah, Dr Anbarasu Ramalingam pula berkata, inisiatif itu bermula selepas Mercy Malaysia menubuhkan Dana Pandemik yang mengumpulkan sumbangan orang ramai termasuk syarikat korporat bagi memberi sokongan kepada petugas barisan hadapan menerusi penyediaan peralatan kesihatan dan perubatan yang diperlukan.

Orang ramai dan syarikat korporat diharap dapat terus memberi sumbangan untuk membantu petugas barisan hadapan di hospital dan klinik kesihatan mendapatkan bekalan PPE secukupnya, katanya. - BERNAMA