Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) membelanjakan RM4.9 juta bagi menambah bekalan pakaian perlindungan diri (PPE), untuk kegunaan petugas barisan hadapan khususnya kakitangan hospital dan klinik yang sedang berusaha membendung penularan COVID-19.

Presidennya, Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus berkata sebanyak 10,000 PPE telah diserahkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr. Chen Chaw di Putrajaya pada Rabu.

“Perbelanjaan itu terdiri daripada gaun PPE, apron, pelindung muka, penutup kasut, penutup kepala, sarung tangan dan topeng muka.

“Keberkesanan daripada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat dilihat setelah kes jangkitan kini menunjukkan penurunan daripada tiga angka kepada dua angka.

“Malah, banyak lokasi juga sudah mula diklasifikasikan sebagai zon kuning dan hijau,” kata Dr Ahmad Faizal.

Namun, beliau yang juga mengetuai Kluster Kesediaan Pandemik di NADMA berkata bahawa beliau menyedari penularan tersebut masih belum selesai sepenuhnya dan masih banyak bantuan perlu disalurkan dalam usaha memerangi pandemik itu.

Bantuan PPE dihantar ke Hospital dan klinik. kesihatan berdekatan.

“Pusat kesihatan misalnya masih kekurangan bekalan PPE bagi melindungi petugas kesihatan daripada wabak COVID-19.

“Oleh itu, MERCY Malaysia menyahut seruan kerajaan untuk menghentikan penularan wabak ini dengan menyalurkan PPE kepada petugas barisan hadapan," katanya.

Dalam pada itu, MERCY Malaysia turut giat membantu kerajaan dengan melakukan saringan kesihatan terhadap golongan minoriti seperti pelarian dan pendatang asing.

Setakat ini, MERCY Malaysia telah membelanjakan hampir RM20 juta sebagai respons kepada bantuan membabitkan COVID-19 di seluruh negara.

Bagi mereka yang ingin menyumbang, sumbangan boleh disalurkan ke MERCY Humanitarian Fund (MBB 5621 7950 4126) atau melalui www.mercy.org.my (Covid-19 Pandemic Fund) dan semua derma dikecualikan cukai.