Majlis Amanah Rakyat (Mara) memaklumkan kesemua pusat pentadbiran agensi itu akan menghadkan operasi selaras dengan langkah pencegahan penularan wabak COVID-19.

Menurut satu kenyataan rasmi, Mara berkata, sesi pengajian, kuliah dan latihan industri dihentikan buat sementara waktu dan akan diselaraskan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak atau dilaksana dengan kaedah di atas talian.

Kesemua pusat latihan dan pengajian Mara juga akan menangguhkan sesi pengajian bermula 18 hingga 31 Mac.

Pusat-pusat pengajian dan latihan yang terlibat ialah Institusi Pendidikan Mara (IPMA) meliputi MRSM (53 buah), Universiti Kuala Lumpur (13 cawangan), Kolej Poly-Tech MARA (7 cawangan), GIATMARA (231 buah), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (10 institut) dan Institut Kemahiran Mara (14 institut).

Tidak ketinggalan Kolej Profesional Mara (6 buah), Kolej Mara (4 buah), German-Malaysian Institute, Kolej Universiti Poly-Tech Mara dan Malaysia-Japan Industrial Institute.

Agensi berkenaan dalam kenyataan media pada Selasa turut memberitahu, semua perjalanan warga kerja Mara dan pelajar tajaan ke luar negara akan dikenakan sekatan menyeluruh.

“Bagi pelajar tajaan Mara yang baru pulang dari luar negara perlulah menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (self-quarantine) selama 14 hari sebagaimana arahan Kementerian Kesihatan Malaysia," kata Mara dalam kenyataannya pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, mana-mana premis perniagaan Mara sama ada kompleks perniagaan, bazar, arked, kawasan industri dan medan selera juga diarahkan untuk menutup operasi dari 18 hingga 31 Mac.

Bagaimanapun, ia terkecuali bagi usahawan yang menjalankan perniagaan yang dibenarkan sahaja iaitu pasar raya, pasar awam, kedai runcit, farmasi dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Pada masa sama, kenyataan tersebut mengumumkan bahawa kesemua aktiviti keagamaan juga ditangguhkan buat sementara waktu.

“Semua aktiviti keagamaan termasuk solat berjemaah dan solat Jumaat di surau yang terdapat di IPMA dan premis perniagaan Mara adalah ditangguhkan buat sementara waktu selaras dengan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac,” tambah kenyataan itu lagi.

Sementara itu, operasi di pusat pentadbiran Mara seperti di ibu pejabatnya, 14 buah pejabat Mara negeri, 117 buah pejabat Mara daerah serta subsidiari Mara akan menghentikan perkhidmatan melibatkan orang ramai bermula 18 hingga 31 Mac.

BACA: COVID-19: Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac - PM

BACA: COVID-19: Jangan balik kampung, kekal di mana anda berada - Pakar