Dua lagi kluster baharu COVID-19 dikenal pasti di Kedah dan Sarawak membabitkan sembilan individu dikesan positif, setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster di Kedah dikenali sebagai Kluster Sivagangga, India membabitkan lima individu.

Sementara katanya, kluster di Sarawak pula dikenali sebagai Kluster Satok membabitkan empat individu yang dikesan positif setakat 28 Julai.

Menjelaskannya, Dr Noor Hisham berkata, kes indeks pertama bagi Kluster Sivagangga, India merupakan seorang pemastautin tetap yang pulang ke Malaysia dari India pada 13 Julai lalu (kes ke-8,937).

Pun begitu katanya, saringan COVID-19 di pintu masuk negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati negatif dan individu itu telah diarah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

"Namun demikian, individu itu tidak mematuhi syarat perintah itu dan di dalam tindakan pihak berkuasa.

"Saringan ulangan yang dijalankan mendapati individu itu positif dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah," ujarnya.

Susulan itu, Noor Hisham berkata, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat dijalankan.

Menurutnya, sehingga hari ini (28 Julai 2020), sebanyak 28 kontak rapat telah disaring dan daripada jumlah itu lima dikesan positif manakala 23 lagi negatif.

Tambah beliau, indeks kes kluster itu merupakan seorang pemilik kedai makan sementara empat yang disahkan positif adalah pekerja kedai tersebut yang merupakan warga asing manakala seorang lagi ahli keluarga kes indeks itu.

"Kesemua kes positif ini dikesan berkongsi tempat kediaman dengan kes indeks.

"Ekoran itu, premis makanan itu telah diarah tutup bagi proses pembersihan dan nyah kuman," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memberitahu, Kluster Satok pula dikesan ketika menjalani saringan COVID-19 di sebuah pasar di Satok, Kuching.

Sehingga 28 Julai ini, katanya, sebanyak 229 individu telah disaring dan daripada jumlah itu, empat disahkan positif COVID-19 manakala 225 individu negatif.

"Kesemua kes positif adalah tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan.

"Aktiviti pencegahan dan kawalan jangkitan di pasar tersebut sedang dijalankan termasuk proses pembersihan dan nyah kuman bagi premis dan kemudahan yang berkaitan," ujarnya lagi.

BACA: 39 kes positif baharu dikesan hari ini!