Kementerian Kesihatan (KKM) menambah kapasiti makmal ujian diagnostik Real-Time Reverse-Transcription Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) susulan penambahan kes di negeri itu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kapasiti ditingkatkan sehingga 2,500 ujian sehari berbanding 100 dan 200 ujian sebelum ini.

"Berikutan pertambahan bilangan kes di Sabah, KKM telah menambah kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian rRT-PCR sebagai salah satu langkah kesiapsagaan.

"Secara keseluruhan, jumlah kapasiti ujian harian makmal sampel COVID-19 di seluruh Sabah ditingkatkan kepada 2,500 ujian sehari," jelasnya dalam kenyataan media di sini pada Rabu.

Tambahnya selain itu, KKM turut menggunakan ujian Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag) bagi ujian saringan COVID-19.

"RTK-Ag mempunyai kelebihan untuk mengesan wabak COVID-19 dengan cepat dalam jumlah yang besar.

"Sehingga kini, terdapat sebanyak 23 makmal hospital dan 26 makmal klinik kesihatan di bawah KKM yang menjalankan ujian RTK-Ag di Sabah," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya apabila ujian COVID-19 di Sabah mencecah 2,500 sehari, sebahagian sampel akan dihantar ke Semenanjung dengan bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selain perkhidmatan kurier swasta ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Bagi jangka masa panjang, KKM katanya sedang berusaha membangunkan sebuah makmal molekular di Hospital Tawau.

Selain itu juga, KKM sedang menunggu penghantaran alat pemeriksaan kaset GENEXPERT COVID-19 daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi kegunaan di Hospital Tawau, Hospital Sandakan dan Hospital Lahad Datu.

Katanya, mesin GENEXPERT itu mampu menjalankan 40 ujian sehari.