Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sub-kluster baharu COVID-19 di Rembau, Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan perhimpunan Sri Petaling.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan melibatkan kakitangan sebuah sekolah dan kemudiannya beberapa lokaliti di daerah terbabit.

"KKM telah mengesan sebuah sub-kluster di Daerah Rembau, Negeri Sembilan yang berkaitan dengan perhimpunan di Sri Petaling. Ini merupakan satu kluster yang melibatkan kakitangan sebuah sekolah dan kemudiannya beberapa lokaliti dalam daerah Rembau (Pedas, Pilin, Kundur dan Batu Hampar).

"Sehingga 8 April 2020 jam 12 tengah hari, terdapat 27 orang yang telah dikenal pasti positif COVID-19, termasuk dua kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian COVID-19 adalah positif bagi beberapa guru di sebuah sekolah," kata Dr Noor Hisham dalam sidang media, di sini pada Rabu.

Penularan COVID-19 dikawasan itu, kata beliau, dipercayai berpunca daripada satu mesyuarat yang diadakan di sekolah terbabit.

Mesyuarat itu dihadiri oleh kes indeks (kes ke-448) yang merupakan salah seorang peserta perhimpunan di Sri Petaling.

"Guru-guru dan kakitangan sekolah yang dijangkiti seterusnya menjangkiti ahli keluarga mereka dan penduduk kampung, sehingga terdapat tiga generasi jangkitan.

:Siasatan juga mendapati terdapat aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara untuk melawat ahli keluarga yang tidak sihat, walaupun negara kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," tegasnya.

Sehubungan itu, KKM, tegas beliau, memandang serius kepatuhan rakyat Malaysia dalam mengikuti nasihat yang telah dikeluarkan dalam memastikan rantaian COVID-19 diputuskan.

Setiap seorang anggota masyarakat, ujar Dr Noor Hisham, perlu memainkan peranan masing-masing secara bertanggungjawab dan tidak mengadakan sebarang perjalanan ke luar kawasan mahupun berkunjung ke rumah saudara-mara yang tidak sihat.