Kesemua atlet dan jurulatih yang bernaung di bawah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) akan terus diberi elaun penuh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Tan Sri Annuar Musa.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, langkah berkenaan adalah tanda keprihatinan kementerian itu terhadap perkara berkaitan kebajikan atlet dan jurulatih di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kegusaran seramai 700 orang atlet dan 103 orang jurulatih Wilayah Persekutuan di bawah MSWP.

“Diharapkan juga pembayaran elaun ini dapat mengekalkan motivasi jurulatih dan atlet untuk cemerlang di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-20 di Johor kelak,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu.

Annuar berkata, anggaran kos pembayaran elaun latihan kepada jurulatih dan atlet ini adalah sebanyak RM600,000 bagi bulan Mac dan April 2020.


Galaxies in the Groth Strip

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya mengambil maklum bahawa atlet tidak dapat menjalani latihan secara intensif ekoran penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Oleh itu, beliau berkata, program latihan berterusan telah disediakan oleh jurulatih manakala pemantauan dilaksanakan menggunakan kaedah laporan secara video.

“Selain itu, bagi mengekalkan tahap kecergasan atlet sepanjang tempoh PKP ini, MSWP dan jurulatih telah menyediakan modul bersesuaian setiap hari melalui video untuk dilaksanakan oleh atlet di rumah.