Bayaran secara ‘one-off’ (sekali bayaran) sebanyak RM500 akan diberikan kepada 1.5 juta penjawat awam, dan 850,000 pesara kerajaan, sebagai usaha membantu mereka menghadapi impak ekonomi akibat wabak COVID-19 ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sewaktu membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRIHATIN) hari ini, beliau berkata, ia adalah sebagai bukti kerajaan tidak akan mengabaikan kebajikan semua penjawat awam yang terus setia menjalankan amanah kepada negara.

“Bagi menghargai sumbangan mereka, kerajaan akan memberikan bantuan tunai sebanyak RM500 secara one-off kepada lebih 1.5 juta penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk mereka yang bekerja secara kontrak. Bayaran akan dibuat pada bulan April 2020.

“Sumbangan pesara Kerajaan juga tidak dilupakan. Dengan ini, Kerajaan akan menyalurkan bantuan 7 sebanyak RM500 secara one-off kepada lebih 850,000 pesara Kerajaan juga pada bulan April 2020,” katanya lagi.

Untuk mereka yang menyimpan dalam Skim Persaraan Swasta (PRS) pula, Perdana Menteri berkata golongan berkenaan dibenarkan untuk membuat pengeluaran maksimum RM1,500 sebulan, bermula April hingga hujung tahun ini.

“Dalam keadaan yang sukar pada waktu ini, tentulah saudara-saudari memerlukan wang tunai daripada apa jua bentuk simpanan untuk digunakan bagi menampung perbelanjaan harian.

“Sehubungan itu, Kerajaan membenarkan pengeluaran pra-persaraan dari akaun B Skim Persaraan Swasta sehingga jumlah RM1,500 bagi setiap ahli tanpa sebarang penalti cukai dalam tempoh bulan April hingga Disember 2020,” katanya lagi.