Seramai 75 rakyat Malaysia serta enam warga Itali yang tiba di tanah air pada 26 Mac lepas, dibenarkan pulang pada Jumaat, selepas menjalani proses kuarantin selama 14 hari di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, di sini.

Semua mereka yang sebelum ini tiba dari Itali dilihat bergerak keluar dari AKEPT bermula jam 8 pagi tadi dengan sebahagian diambil oleh ahli keluarga manakala yang lain menaiki van dan kereta disediakan pihak pengurusan pusat kuarantin.

Daripada jumlah itu, 39 daripada mereka ialah lelaki dan 42 perempuan.

Turut dibenarkan pulang ialah lima kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM), 20 kru AirAsia dan masing-masing seorang pegawai Kementerian Luar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menurut wakil NADMA, seramai lapan individu yang pulang menaiki van dan kereta disediakan pihak pengurusan pusat kuarantin, dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 manakala selebihnya diambil ahli keluarga dengan dibekalkan surat kebenaran pergerakan.

Kesemua 81 individu itu dibawa pulang dari Itali menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) menaiki pesawat khas AirAsia yang tiba di KLIA pada 10.06 pagi, 26 Mac lepas, susulan penularan pandemik COVID-19 di negara berkenaan.

Misi berkenaan adalah yang keempat selepas kejayaan membawa pulang rakyat Malaysia terkandas di Wuhan, China pada 4 dan 26 Februari lepas akibat pandemik itu, dengan masing-masing berjumlah 133 dan 66 orang diikuti misi HADR dari Tehran, Iran, yang membawa pulang 55 individu, pada 22 Mac lepas.

Ketika ini, masih terdapat 30 rakyat Malaysia di pusat kuarantin AKEPT terdiri daripada 15 individu yang tiba dari Indonesia, 14 individu (Sepanyol) dan seorang (United Kingdom), yang akan menamatkan proses kuarantin pada 17 April ini selepas dimasukkan ke pusat itu pada 2 April. - BERNAMA