Seramai 35 pegawai kanan kerajaan diarah menjalani kuarantin diri selama 14 hari susulan seorang pegawai kerajaan dikesan positif COVID-19 selepas menghadiri mesyuarat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdulllah berkata, kesemua mereka setakat ini disahkan negatif selepas menjalani ujian saringan.

Jelas beliau, adalah menjadi keperluan bagi setiap penjawat awam untuk menjalani saringan COVID-19 sebelum menghadiri sebarang mesyuarat.

“(Ketika ini) Kita fokus (mengesan kontak rapat) ahli keluarga pegawai berkenaan, dan semua yang menghadiri mesyuarat tersebut adalah berjumlah 35 orang.

“Apa yang penting adalah yang kami telah lakukan sejak beberapa bulan lalu, misalnya melibatkan prosedur operasi standard (SOP).

“Pada mesyuarat kami, terdapat jarak sekurang-kurangnya satu meter dan tidak sesak seperti anda dapat lihat pada sidang media hari ini.

“Kedua, pegawai yang hadir mesyuarat dikehendaki membasuh tangan sebelum memasuki bilik mesyuarat, dan ketiga kita elak tempat yang sempit sepanjang mesyuarat tersebut.

“Lebih penting, ujian saringan sudah dijalankan ke atas 35 individu terbabit dan kesemua mereka adalah negatif,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari di kediamannya selepas seorang pegawai yang hadir pada mesyuarat pasca-Kabinet di Pejabat Perdana Menteri pada Rabu, disahkan positif COVID-19.