Seramai 132 pelajar Tahfiz Madrasah Miftahul Ulum yang menghadiri perhimpunan ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling akhir bulan lalu dipindahkan ke Institut Sosial Malaysia (ISM) untuk menjalani proses kuarantin, pada Isnin.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, berkata operasi tersebut bermula pada jam1.16 petang disertai 41 anggota dan pegawai Pasukan Hazmat.

"Bomba dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Radicare untuk menjalankan operasi pembasmian kuman terhadap semua pelajar terbabit.

"Empat buah bas disediakan untuk membawa pelajar tahfiz yang berumur 15 hingga 30 tahun itu dan mereka tiba di ISM pada 2.36 petang.

"Operasi pemindahan semua pelajar tahfiz itu telah selesai dan kerja pembasmian kuman terhadap keempat-empat bas dijalankan oleh ISM," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Mengulas lanjut, jurucakap itu berkata, kebajikan pelajar-pelajar tahfiz yang ditempatkan di pusat kuarantin itu akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Astro AWANI difahamkan kesemua pelajar tahfiz ini akan menjalani proses kuarantin selama 14 hari seperti ditetapkan oleh KKM dan dikategorikan sebagai pesakit dalam siasatan (PUI).

Pada Ahad, Kementerian Wilayah Persekutuan mengumumkan sebanyak 11 pusat kuarantin di Wilayah Persekutuan termasuk Labuan akan mula beroperasi pada Isnin.

Sebahagiannya akan menempatkan jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan ijtimak di Masjid Sri Petaling.