Seramai 1,188 individu telah diarahkan menjalani proses kuarantin di seluruh negara dalam tempoh 24 jam, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Daripada jumlah tersebut, seramai 711 individu merupakan mereka yang tiba dari luar negara.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 4,933 orang telah dikuarantin di seluruh negara sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membabitkan sebanyak 90 pusat kuarantin.

“Kita telah melaksanakan pusat kuarantin wajib di mana rakyat yang kita pulang ke luar negara diwajibkan terus dan dikuarantinkan selama 14 hari.

“Semalam, berdasarkan laporan yang diterima daripada Agensi Pengrusan Bencana Negara (NADMA) bahawa semua berjalan dengan baik dan lancar.

“Saya juga telah memaklumkan bahawa penumpang-penumpang yang ingin meneruskan perjalanan ke Sabah dan Sarawak, mereka tidak dikuarantin di Kuala Lumpur, sebaliknya mereka boleh meneruskan perjalanan mereka selepas transit di KLIA dan apabila pulang ke Sabah atau Sarawak, mereka akan dikuarantin di negeri masing-masing,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Sabtu.


Sementara bagi penumpang yang terkandas dan tidak boleh meneruskan penerbangan ke Sabah dan Sarawak, Ismail Sabri berkata, kesemua mereka perlu menjalani kuarantin di pusat-pusat kuarantin di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan lokasi berdekatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa pusat kuarantin di seluruh negara mencukupi untuk menempatkan individu-individu terbabit.

“Kita dimaklumkan bahawa sebanyak 40,00O rakyat kita boleh dikuarantin dalam satu-satu masa dan ia mencukupi. Seperti saya sebut tadi, setakat ini baru 400 lebih yang dikuarantin dan masih banyak tempat boleh digunakan,” katanya.