Kerajaan-kerajaan negeri disaran mengikuti langkah Kerajaan Pulau Pinang dalam mentadbir urus hasil kutipan caj beg plastik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata caj kutipan beg plastik di Pulau Pinang digunakan untuk program-program pemuliharaan alam sekitar sejak 10 tahun lalu.

“Di Pulau Pinang, bermula tahun 2009 dan dengan pengemaskinian inisiatif pada tahun 2016, Kerajaan negeri telah mengambil tindakan proaktif dengan membuat kutipan caj ke atas beg plastik dan menggunakannya untuk program-program kesejahteraan rakyat dan pemuliharaan alam sekitar.

“Langkah yang diambil oleh Kerajaan Pulau Pinang boleh dijadikan contoh kepada kerajaan negeri lain di dalam mentadbir urus hasil kutipan caj beg plastik dan digunakan untuk tujuan pemuliharaan alam sekitar,” katanya ketika berucap merasmikan Kempen Cintai Alam Sekitar, di sini, hari ini.

Ujarnya, pengenaan caj ke atas beg plastik dan ‘no straw by default’ adalah inisiatif kerajaan dalam mencegah pengguna daripada menggunakan plastik sekali guna.

Ia sekali gus dapat mendorong pengguna membuat keputusan yang lebih mesra alam dengan membawa beg yang boleh diguna semula semasa membeli belah dan amalan meminum tanpa menggunakan penyedut minuman.

“Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) juga telah mengedarkan Surat Pekeliling Am (SPA), di mana semua kementerian dan agensi kerajaan perlu mengadakan kempen untuk menghindari plastik sekali guna di organisasi masing-masing semasa mesyuarat, majlis rasmi serta program kerajaan termasuklah dengan tidak menyediakan pinggan, piring mangkuk, cawan, kutleri bersifat sekali guna serta mengelakkan penggunaan straw plastik,” ujarnya.

Bagaimanapun, pihaknya masih berdepan cabaran besar terutama dalam mengubah tabiat masyarakat.

“Cabaran paling besar adalah mengubah tabiat masyarakat terhadap pengunaan plastik melalui kempen-kempen kesedaran selain penguatkuasaan.

“Cabaran seterusnya ialah di mana mereka boleh perolehi produk-produk bio-degradeable untuk kegunaan harian,” katanya.