Jaguh badminton Datuk Lee Chong Wei dan ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David semalam dinobat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Pulau Pinang 2011, sekaligus mengulangi pencapaian cemerlang mereka selama empat musim berturut-turut.

Kedua-dua wira negara itu bagaimanapun tidak dapat hadir untuk menerima anugerah berkenaan daripada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada Majlis Anugerah Sukan 2011 di Hotel Traders di sini semalam.

Chong Wei diwakili Presiden Persatuan Badminton Pulau Pinang Dr Koay Ban Hing manakala Nicol diwakili bapanya, Desmond David, 65, menerima anugerah itu. Nicol yang baru selesai menyertai Kejohanan Skuasy Wanita Berpasukan Dunia di Perancis tidak dapat hadir kerana terikat dengan latihan rutinnya di Poland, Amsterdam.

Tambah bermakna buat pemain nombor satu dunia itu apabila beliau turut merangkul Anugerah Piala TYT Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang 2011.

Chong Wei dan Nicol menerima piala pusingan, piala iringan, sijil penghargaan dan wang tunai RM3,000.

Sementara itu, anugerah Olahragawan Harapan menjadi milik atlet karate-do Lim Chee Wei, 21, yang meraih pingat gangsa dalam temasya Sukan Sea ke-26 dan pingat emas dalam Kejohanan Terbuka Singapura tahun lepas.

Manakala perenang muda Emanuelle Mah Thil Da, 17, dianugerah Olahragawati Harapan berdasarkan pencapaian membanggakan dalam Sukan Sea ke-26 (emas) dan Sukma Kuala Lumpur (Perak) 2011.

Mereka berdua masing-masing membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sijil penghargaan dan wang tunai RM2,000.

Pasukan karate bagi kategori lelaki dan wanita pula mendominasi anugerah

Pasukan Terbaik 2011 setelah menampilkan aksi cemerlang dalam Sukan Sea ke-26 yang menyaksikan pasukan lelaki meraih pingat emas dan wanita mendapat pingat gangsa.

Pemenang anugerah berkenaan memperoleh wang tunai berjumlah RM2,500, sijil penghargaan, piala iringan dan piala pusingan.