Kerajaan harus melihat usaha pemerkasaan orang muda terletak kepada jenis bantuan baharu untuk pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn menjelaskan, ia sekali gus menjadi norma baharu kepada perbezaan keperluan anak-anak muda di IPT terutama pada gelombang pasca pandemik COVID-19 kini.

“Saya melihat proses pembelajaran mereka sudah berubah. Pasca COVID-19 ini pengajian mereka kebanyakkannya adalah di dalam talian sahaja.

“Mungkin kerajaan harus mengkaji bentuk bantuan seperti rebat internet kepada mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.

BACA: COVID-19: Satu kes baharu Kluster Bukit Bintang

BACA:
Chini Memilih: Mengundi dalam kelaziman baharu, ini anda perlu tahu

Terdahulu, Bastien dan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini, Mohd Shahrim Md Zain menghadiri Program Keselamatan Jalan Raya Bersama Orang Muda di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Felda Gugusan Chini.

Program itu melibatkan Jabatan Keselamatan Jalan raya (JKJR), Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ia menjadi ruang kepada anak-anak muda di Felda Chini untuk memperbaharui lesen, menjalankan pemeriksaan kenderaan dan urusan saman.

Pada majlis itu juga, Mohd Shahrim menjelaskan, anak muda perlu dibela kerana mereka menjadi aset kepada masa depan negara.

Mengulas lanjut Bastien turut meminta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mengkaji dan menjalankan kerjasama dan bantuan untuk memastikan proses pembelajaran pelajar berkenaan tidak terbantut.

“Ia termasuk kepada golongan pelajar universiti yang tidak berkemampuan untuk melanggan perkhidmatan internet.

“Saya lihat banyak kes yang melibatkan isu kedudukan pelajar di kawasan yang tidak mempunyai capaian internet.

“Bagaimana pula mereka yang tidak mampu melanggan internet?” soalnya.

Dalam majlis itu juga, Bastien dan Mohd Shahrim turut mengambil kesempatan menceritakan kepada pengundi di Chini tentang kejayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendepani pandemik COVID-19.

“Fasa pertama memerangi pandemik ini sudah berjaya. Sekarang masuklah fasa melindungi negara daripada kemasukan elemen luar di mana Op Benteng sedang dijalankan dengan cemerlang.

“Selepas ini masuk fasa memulihkan ekonomi. Kami percaya bahawa kejayaan di Chini akan menjadi lambang keyakinan rakyat kepada kerajaan untuk menangani semua permasalahan ini,” ujarnya.


Pada Khamis, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 62 kes COVID-19 pulih dan dibenarkan discaj sekali gus menjadikan jumlah kumulatif 8,437 kes, 97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga 12 tengah hari Khamis, ada tiga kes baharu jangkitan COVID-19 yang dilaporkan dalam negara menjadikan jumlah kumulatif adalah 8,643 kes.