Seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat pengendali umrah terkemuka di Kelantan didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini atas tuduhan memalsukan dokumen pemindahan Telegraf.

Tuduhan terhadap Wan Muhd Zamri Wan Salleh, 46 tahun, dibuat di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curang memperdaya ejen pengurusan umrah di Arab Saudi, Shukri Mamah dengan menggunakan sesuatu dokumen sebagai tulen iaitu empat pemindahan Telegraf Bank Muamalat yang diketahui palsu di bangunan wisma syarikat berkenaan pada 27 Jun 2016.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang boleh memboleh membawa hukuman dua tahun penjara atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ho Zee Xing menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Mohd Ilias Mohd Noor memohon jaminan itu dikurangkan kerana tertuduh menghidap penyakit jantung dan anaemia.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh dibebaskan selepas menjelaskan jaminan tersebut.