Derita ditanggung hampir sejuta rakyat Melaka susulan catuan bekalan air berjadual yang dilaksanakan sejak penghujung Januari lalu bakal berakhir 1 April ini.

Berita gembira itu dikongsikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali dalam satu kenyataannya kepada media hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira peratusan paras air di tiga empangan termasuk empangan utama di Durian Tunggal yang menunjukkan peningkatan sejak dua minggu lalu.

“Mengambil kira situasi yang sedang dihadapi oleh rakyat Melaka ketika ini dan prihatin dengan kebajikan rakyat, kerajaan negeri bersetuju agar Program Bekalan Air Berjadual Zon 1 yang telah dimulakan sejak 29 Januari lalu dan Zon 2 yang telah dimulakan sejak 10 Mac lalu akan di tamatkan pada 1 April ini.

“Dengan keputusan ini, kerajaan negeri berharap lebih 80 peratus atau 735,221 isi rumah termasuk kawasan perindustrian dan perhotelan yang terlibat dalam program Bekalan Air Berjadual sebelum ini akan dapat manfaatnya dan boleh menarif nafas lega,” katanya menerusi kenyataan media di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut katanya, beliau merayu seluruh rakyat di negeri itu untuk terus melakukan penjimatan memandangkan kaedah bekalan air berjadual akan diaktifkan semula sekiranya paras empangan berada dibawah 40 peratus.

Jelasnya, ia terpaksa dilaksanakan sebagai persediaan kerana mengambil kira gelombang kedua musim kering yang lazimnya berlaku sekitar bulan Julai hingga September setiap tahun.

“Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) perlu mengaktifkan semula Program Bekalan Air Berjadual ini dengan kadar segera apabila paras takungan di empangan berada pada tahap di bawah 40 peratus dan menunjukkan trend menurun.

“Jadi saya merayu agar semua rakyat negeri Melaka memahami situasi semasa. Semua diharap dapat terus menyokong usaha penjimatan,” tambahnya.

Untuk rekod, sehingga tengahari ini, empangan utama di Durian Tunggal yang merupakan sumber air bersih bagi kira-kira 60 peratus penduduk di negeri ini berada pada paras 40.9 peratus dengan kapasiti 12,620 juta liter air.

Manakala dua lagi iaitu masing-masing Empangan Jus 23 peratus dengan kapasiti 9,975 juta liter dan Empangan Asahan 72.8 peratus berkapasiti 507 juta liter.

Terdahulu, Melaka mula melaksanakan catuan bekalan air secara harian bermula 29 januari lalu dengan menutup 87 injap air bermula jam 10 pagi membabitkan 550,673 orang iaitu 62.8 peratus pengguna di ketiga-tiga daerah di negeri itu.