Pengerusi Lembaga Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim mengharapkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk melanjutkan umur nelayan yang menerima bantuan Elaun Sara Hidup kepada 75 tahun berbanding 70 tahun sekarang.

Beliau berkata ini kerana terdapat nelayan yang lanjut usia masih turun ke laut bagi mencari sumber pendapatan.

"Harapan saya (untuk Bajet 2018) ialah melihat nasib nelayan terbela. Saya melihat nelayan yang berumur 70 tahun ke atas masih lagi turun ke laut. Saya amat mengharapkan agar elaun sara hidup mereka dapat dipanjangkan tempoh sehingga ke 75 tahun.

"Terdapat banyak nelayan yang memiliki rumah di tepi pantai yang dalam keadaan daif. Saya amat berharap agar kediaman mereka dibaik pulih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'Jom Makan Ikan' sempena Kempen Pengurangan Kos Sara Hidup, di sini hari ini.

Beliau yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor berkata program seumpama itu perlu diperbanyakkan bagi menangani penglibatan orang tengah dalam urus niaga hasil laut agar pengguna mendapat harga yang lebih berpatutan.

Pada majlis itu sebanyak tiga tan ikan segar dan lebih satu tan ikan segar beku Q'Fish dijual dengan potongan harga sehingga 50 peratus.

Program berkenaan akan diadakan setiap bulan di lokasi terpilih termasuk di Lembah Klang.

Sementara itu Irmohizam berkata dalam usaha memperluas pemasaran Q-Fish, LKIM menjemput koperasi dan usahawan tempatan untuk bekerjasama dengan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) .

"Kerjasama secara terus itu dapat memastikan ikan Q-Fish dijual kepada orang ramai dengan harga yang lebih rendah sekal igus dapat mengurangkan kesan pengambilan untung oleh orang tengah yang membebankan pengguna," katanya.

-- BERNAMA