Seorang buruh binaan hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan Militan Islam (IS).

Tertuduh Muhammad Kasyfullah Kasim, 36 bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan.

Ketika pertuduhan dibacakan, Muhammad Kasyfullah kelihatan tenang dan hanya mengangguk faham.

Dia didakwa memasuki Syria dengan menaiki pesawat melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), untuk memberi sokongan dengan menjadi ahli kumpulan IS.

Sementara bagi pertuduhan pilihan, dia didakwa melakukan perbuatan pengganas dengan membabitkan penggunaan senjata api untuk melanjutkan perjuangan ideologi bagi menggugat orang awam di Syria.

Pertuduhan pertama dan pilihan itu didakwa dilakukan antara 28 Disember 2013 hingga 7 April tahun ini.

Sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda.

Pendaftar Mahkamah Majistret Sesyen Rozaidi Yaacob kemudiannya menetapkan 13 Februari 2015 untuk sebutan semula kes.