Bursa Malaysia memulakan minggu ini dengan sentimen positif seiring dengan prestasi di Wall Street yang ditutup tinggi pada Jumaat minggu lepas ditengah-tengah pemulihan harga minyak mentah.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KCLI (FBM KLCI) meningkat 6.62 mata atau 0.47 peratus kepada 1,410.06 daripada 1,403.44 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks itu dibuka 5.95 mata lebih tinggi kepada 1,409.39.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 334 berbanding 113, manakala 241 kaunter tidak berubah, 1,187 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 906.87 juta bernilai RM240.18 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata dengan FBM KLCI ditutup tinggi pada Jumaat lepas susulan harga komoditi yang tinggi, pada masa depan ia menjangkakan momentum belian mungkin tidak menentu di tengah-tengah ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang tercetus semula.

"Sokongan daripada kenaikan minggu lepas mungkin menyaksikan FBM KLCI menguji semula jajaran penstabilan sekitar paras 1,430 selepas indeks utama itu berjaya meningkat di atas paras psikologi 1,400.

"Pada masa yang sama, 1,360 akan berfungsi sebagai paras sokongan," kata firma pembrokeran tempatan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Malacca Securities berpandangan aktiviti giliran mungkin berterusan dengan minat dagangan cenderung kepada saham tenaga dan perladangan dalam tempoh terdekat ini, susulan harga komoditi yang tinggi kebelakangan ini.

Pada 9.43 pagi, harga penanda aras global minyak mentah Brent meningkat 4.06 peratus kepada US$33.82 setong.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Petronas Chemicals meningkat 13 sen kepada RM5.69, Tenaga naik 10 sen kepada RM12.30, IOI Corp menokok sembilan sen kepada RM4.08, Hartalega melonjak 12 sen kepada RM9.23 dan MISC menambah lapan sen kepada RM8.08.

Saham paling cergas dikuasai kaunter berkaitan minyak dan gas dengan Bumi Armada dan Hibiscus naik 5.5 sen setiap satu masing-masing kepada 25 sen dan 63.5 sen, Icon Offshore mengukuh tiga sen kepada 10.5 sen, KNM naik 3.5 sen kepada 21.5 sen manakala kaunter teknologi Lambo tidak berubah pada dua sen.

Kaunter untung utama adalah Carlsberg, meningkat 28 sen kepada RM27.10 manakala kaunter rugi utama Pentamaster turun 1.5 sen kepada RM4.28.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 61.47 mata kepada 9,929.53, Indeks FBMT 100 naik 56.02 mata kepada 9,772.13 manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 82.66 mata kepada 11,783.51.

FBM ACE meningkat 49.67 mata kepada 5,439.77 dan FBM 70 naik 110.97 mata keoada 12,102.38.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 29.82 mata kepada 12,297.03, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.30 mata kepada 122.19 dan Indeks Perladangan melonjak 33.72 mata kepada 6,230.88.

-- BERNAMA