Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi berbincang sama ada Sarawak bersetuju untuk membuka semula operasi sektor ekonomi di negeri itu.

Ia setelah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tentang pembukaan sebahagian besar sektor ekonomi di seluruh negara bermula 4 Mei depan.

Namun pembukaan setiap operasi ini perlu mematuhi garis panduan kesihatan dan keselamatan yang digariskan kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN).



Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata buat masa ini pihaknya masih perlu mengadakan perbincangan secara terperinci bersama Ketua Menteri sebelum sebarang keputusan diumumkan.

“Saya belum berbincang dengan Ketua Menteri lagi, jadi saya tidak boleh memberikan komen,” ujar Uggah.

Sementara itu menerusi kenyataan harian JPBN pada Jumaat berkata kerajaan negeri Sarawak menghormati keputusan yang telah diumumkan Perdana Menteri.

Bagaimanapun Sarawak sedang mengkaji dan menimbang dengan teliti cadangan tersebut.



“Kerajaan Sarawak akan menentukan SOP yang sesuai dilaksanakan mengikut kedaan di Sarawak dan juga perlu mengambil kira isu kesihatan dan ekonomi," jelas kenyataan itu.

Antara lain dua kes positif terbaharu COVID-19 direkodkan di Sarawak dan kedua-dua kes ini dilaporkan di Kuching.