Seorang broker rumah terkejut apabila menemui rangka manusia dalam sebuah rumah di Taman Century Garden, di sini ketika mahu memaklumkan rumah terbabit akan dijual.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata rangka ditemui pada Sabtu dan pihaknya telah menerima laporan dari broker rumah terbabit tentang penemuan itu.

Katanya hasil siasatan awal si mati iaitu penyewa rumah dikenali sebagai Hooi Mee Mee berusia 78 tahun.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati rangka manusia ditemui di pintu bilik air dalam salah sebuah bilik di rumah tersebut.

"Pemeriksaan pihak polis keatas rangka manusia itu mendapati tiada tanda tanda adanya unsur perbuatan jenayah.

"Siasatan di tempat kejadian juga tidak menjumpai apa-apa senjata yang menjurus kepada perbuatan jenayah," katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Menurut Shahurinain, broker rumah tersebut datang ke rumah itu untuk bertemu penyewa rumah kerana rumah tersebut akan dijual kepada orang lain.

"Setelah sampai di rumah, broker telah memanggil penyewa tapi tidak dijawab, lalu membuka pintu yang dikunci dari dalam.

"Apabila diperiksa rumah tersebut telah menjumpai rangka manusia di pintu bilik air dalam salah satu bilik di rumah tersebut dan broker terbabit terus menghubungi pihak polis," katanya.

Jelas Shahurinain, rangka manusia itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat dan dimaklumkan si mati dipercayai telah meninggal dunia lebih enam bulan yang lalu.

Katanya keluarga si mati kini edang dikesan bagi tujuan siasatan dan proses untutan mayat si mati.

"Sehingga kini tiada unsur jenayah atau khianat ditemui dalam kejadian ini dan siasatan mati mengejut dibuat dalam kes ini," katanya lagi.