Sebuah bot gentian kaca membawa 40 sangkar mengandungi pelbagai spesis burung dilindungi ,ditahan di kedudukan lima batu nautika tenggara Tanjung Setapa, dekat perairan Pengerang, dekat sini, Selasa malam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata pihaknya telah menahan bot tanpa nombor pendaftaran dan dikendalikan dua orang kru itu, pada pukul 10.35 malam.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot itu membawa kira-kira 40 sangkar jenis bakul dengan pelbagai spesies burung termasuk murai batu yang merupakan spesies dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

"Kita percaya bahawa burung-burung tersebut cuba diseludup keluar dari Malaysia ke Indonesia dan hasil rampasan dianggarkan bernilai RM45,000 termasuk bot," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata kes itu turut mendapat bantuan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 60 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Dalam kes berasingan, Mohd Zulfadli berkata sebuah kapal pengangkut Gas Asli Cecair (LNG) 'Beidou Star' yang berdaftar di Hong Kong ditahan kapal peronda APMM di perairan Permatang Timur, pantai timur Johor, pukul 5 petang Selasa.

Menurutnya, kapal itu akan disiasat di bawah Seksyen 491B (I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut yang mana jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Penahanan ini juga bertujuan mencegah kejadian rompakan di laut selain kapal yang bersauh tanpa kebenaran terutamanya di perairan Permatang Timur, Tompok Utara dan Beting Ramunia," katanya.

Beliau berkata APMM akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Johor timur selain menyeru pemilik kapal agar memohon kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh.

-- BERNAMA