Pengusaha pusat pelancongan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) perlu memastikan semua bot yang digunakan untuk membawa pelancong ke pusat peranginan dipasang Sistem Pengesanan Automatik (AIS) dan Radio VHF Channel 16.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) DCP Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata perkara itu penting agar memudahkan agensi keselamatan mengesan lokasi bot dan memberi bantuan kecemasan sekiranya berlaku insiden termasuk penculikan atau bot karam.

"Ini merupakan antara langkah keselamatan yang diputuskan dalam Mesyuarat Koordinasi Jeti Pelancongan dan Lain-Lain Aspek Keselamatan Maritim Bot-Bot Pelancongan yang dipengerusikan saya hari ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

BACA: APMM rancang pasang radar di sepanjang perairan negeri Sarawak

BACA:
APMM tahan 19 bot pelancong dalam 'Ops Mengalum'

Menurutnya, keselamatan para penumpang dan tindakan pantas pihak berkuasa menghantar pasukan penyelamat bergantung kepada maklumat awal daripada bot mengenai sebarang insiden yang sedang berlaku ketika itu.

Pada mesyuarat itu juga, Abdul Bari berkata ESSCom akan menyediakan garis panduan lengkap mengandungi langkah keselamatan yang perlu dilaksanakan semua pengusaha pusat pelancongan termasuk prosedur keselamatan yang perlu dipasang pada bot.

Di samping itu, menurutnya setiap bot pelancongan di jeti pelancongan perlu mendapat pelepasan daripada pihak berkuasa termasuk Jabatan Pelabuhan dan Dermaga, Pasukan Polis Marin dan Taman-Taman Sabah sebagai langkah awal keselamatan para pelancong terkawal serta terhindar daripada menaiki bot yang beroperasi secara haram dan tidak memuaskan.

Sementara itu, Ketua Staf Pusat Operasi ESSCom Brig Jen Datuk Md Rahim Mohamad berkata tahap kesedaran penggunaan AIS dan Channel 16 dalam kalangan pengusaha bot pelancongan di ESSZone masih rendah.

"Kepekaan mereka kepada ancaman serta keperluan keselamatan dalam kalangan pengusaha ini perlu dipertingkatkan sebelum insiden tidak baik berlaku," katanya lagi.

Md Rahim dalam pada itu meminta kerjasama semua pihak supaya melaporkan segera kepada Pusat Operasi ESScom di talian 089-836181 sekiranya mempunyai sebarang maklumat penting berkaitan jenayah atau individu yang mencurigakan.

-- BERNAMA