Tindakan cekap anggota bomba berjaya menyelamatkan nyawa seorang wanita terjun dari Jambatan Tok Pasai, Kuala Kedah, pada Sabtu.

Adegan memujuk selama 10 minit itu berlaku selepas mangsa yang dipercayai mengalami tekanan perasaan bertindak nekad untuk terjun dari jambatan itu ke dalam laut.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, wanita berusia 29 tahun itu dipercayai kemurungan dan cuba untuk terjun di atas jambatan pada ketinggian kira-kira 30 meter dari laut.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.40 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ahmad Nozlan Zakaria tiba di lokasi jam 3.54 petang.

Setibanya di lokasi, didapati wanita tersebut berada di tengah-tengah jambatan sambil menangis dan cuba untuk terjun.

Berikutan itu, anggota bomba mencuba pelbagai cara untuk memujuk supaya wanita itu supaya membatalkan cubaannya untuk terjun.

Mohamadul Ehsan berkata, mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut sambil diiringi polis.



Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma bermula 1 Ogos 2019.