Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap penganjur program motivasi yang memasukkan modul berbogel secara terbuka dalam satu aktiviti yang dijalankan di sebuah pusat peranginan di Bentong, Pahang pada Sabtu.

Nazri menyifatkan modul yang diberi nama ‘All Out’ itu sebagai program kolot dan tidak mencerminkan pemikiran Bangsa Malaysia zaman sekarang.

BACA: 48 ditahan kes bogel 'All Out' di kem motivasi di Bentong

“Saya ingat mereka ni ‘berpenyakitlah’, kita marah pelancong luar negara berbogel macam di Kinabalu tapi hari ini orang Malaysia kita sendiri buat.

“Ini gila punya kerja, kolot macam orang zaman batu,” kata Nazri semasa ditemui media pada satu majlis di sini, hari ini.

BACA: Kes bogel 'All Out': Peserta tidak wajar dipersalahkan - Polis

Semalam, polis daerah Bentong mengesahkan 48 individu ditahan termasuk 39 peserta yang berbogel dalam sebuah kem motivasi yang dianjurkan sebuah syarikat perkhidmatan dari Kuala Lumpur.