Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menyifatkan agenda ahli politik yang prihatin dan mahu memperjuangkan hal-hal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah untuk meraih undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut beliau, isu MA63 bukan satu isu baharu kerana perkara dalam MA63 telah diperjuangkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

"Bagi saya isu ini sesuatu yang laris di pasaran dan pasaran tersebut ialah pasaran undi.

"Ini kerana isu MA63 sudah lama wujud dan bagi saya yang paling penting adalah mesti ada ketetapan dalam kita membawa isu ini kepada pihak yang berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Karnival Pendidikan Tinggi Negera (KPTN) 2018 Zon Sabah di 1 Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, hari ini.

Tambah Masidi, Kerajaan BN di Sabah turut mewujudkan dua jawatankuasa untuk meneliti syarat-syarat MA63 yang dikatakan terhakis untuk rakyat di negeri ini.

"Kerajaan telah mewujudkan dua jawatankuasa di peringkat tertinggi yang dianggotai oleh pemimpin-pemimpin daripada Sabah dan Sarawak serta pemimpin-pemimpin persekutuan.

"Perdana Menteri turut memberi perakuan bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa dan bersedia mengembalikan kuasa atau hak jika terhakis sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja," katanya.