Malaysia dan negara Muslim lain perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan sekatan dagangan (sanctions) yang boleh dikenakan ke atas mereka, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika berucap di majlis penutup Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 hari ini, beliau berkata, dunia sudah menyaksikan tindakan beberapa negara tertentu yang membuat keputusan bersifat punitif itu.

Memetik Qatar dan Iran sebagai contoh, Dr Mahathir berkata, kedua-dua negara itu telah dikenakan sekatan sebelum ini, tetapi masih mampu bertahan dalam era globalisasi masa kini.

“Penting untuk saya sebut, dagangan ke atas Iran telah disekat bertahun lamanya, tetapi masih boleh maju ke hadapan, dan menjadi negara keempat tertinggi dari segi jumlah jurutera.

"Qatar juga disekat seperti Iran, tetapi masih berjaya berkembang dengan cukup hebat.

“Harus diingat, sekatan dagangan dan embargo ini tidak semestinya eksklusif untuk Iran dan Qatar semata-mata.

"Dunia melihat sendiri bagaimana beberapa negara buat keputusan secara unilateral untuk membuat tindakan demikian. Malaysia dan negara lain juga harus ingat, ia boleh dikenakan ke atas kita,” katanya lagi.

BACA: Eropah jadi pilihan pelarian, negara Islam belum cukup bertindak - Sultan Nazrin

BACA: Dr Mahathir seru negara Muslim guna dinar emas, sistem barter

Atas faktor itu, Dr Mahathir berkata, ia memberi justifikasi mengapa negara Muslim perlu mula berdikari, serta membantu negara Muslim yang lain.

“Ini bagi memastikan sekiranya kita dikenakan tindakan sekatan seperti itu, kita sudah bersedia untuk menghadapinya,” katanya lagi.

BACA: KL Summit 2019: Tiada paksaan jika tidak dapat hadir - Tun Mahathir

BACA: Sekatan Iran: Malaysia tidak mampu buat apa-apa - Tun M

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengakui, banyak pihak secara sengaja atau tidak, menyalahanggap tujuan sebenar sidang kemuncak ini diadakan.

Malah, katanya, ada yang rasa terkilan serta tidak kurang juga yang rasa curiga.

“Tetapi, pada ketika ini, saya hampir pasti pandangan negatif ini adalah tidak berasas, dan tidak mempunyai justifikasi.

“Kita tidak berhasrat untuk menggantikan platform Muslim lain, kita tidak berhasrat untuk mewujudkan kelas negara Muslim yang berlainan, apatah lagi untuk merendah-rendahkan mereka,” katanya lagi.

BACA: 'KL Summit 2019 tidak akan diskriminasi, pinggir mana-mana pihak' - Dr Mahathir

BACA: Raja Arab Saudi gusar Malaysia anjur KL Summit

Perdana Menteri berkata, perbincangan lebih ke arah mengenalpasti kelemahan dan kekuatan yang dimiliki negara Muslim, serta bagaimana kerjasama boleh dipertingkatkan.

“Secara mudahnya, jika ada di antara kita yang mempunyai kelebihan dalam bidang tertentu, kita akan menawarkan kepakaran itu kepada negara Muslim lain yang memerlukannya, supaya dapat dihasilkan kerjasama yang lebih realistik,” katanya lagi.