Pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak perlu membuang masa untuk berdebat dengan Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Setiausaha Akhbar Menteri Pertahanan Amin Shah Iskandar.

Dalam satu kenyataan, Amin menjawab pelawaan debat yang dibuat Najib terhadap Mohamad Sabu selepas veteran DAP Lim Kit Siang menarik diri daripada berdebat dengan bekas perdana menteri itu.

"Biarlah Najib fokus terhadap kes-kes mahkamah dihadapinya dan bermain dengan media sosial yang menjadi kegemaran terbaharunya.

"Lagipun tidak lama lagi Najib akan 'berehat' dengan lama dalam penjara.

"Biarlah Najib terus ketawa sebelum masuk penjara," katanya.

Debat antara Najib dan Kit Siang tidak dapat diteruskan selepas pemimpin DAP itu menarik diri dengan alasan bimbang isu perkauman akan timbul dalam debat yang dijadualkan selepas Ramadan nanti.

Najib yang mencipta rekod tersendiri sebagai bekas perdana menteri pertama dihadapkan ke mahkamah dan merupakan Presiden UMNO pertama yang gagal membawa partinya dan gabungan Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Umum.