Penugasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) bukanlah di barisan hadapan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata, anggota RELA yang ditugaskan di ESSZONE tidak diletakkan di lokasi yang berisiko untuk mereka.

Katanya, kesemua anggota RELA tidak ditugaskan dalam mana-mana operasi strategik atau taktikal malah mereka diberikan latihan secukupnya dan relevan dengan tugas yang dilakukan.

"Penugasan itu sesuai dengan peranan RELA sebagai benteng pertahanan kedua yang menjaga keselamatan setempat melalui rondaan komuniti dan penyaluran maklumat.

"Mereka akan melakukan aktiviti penguatkuasaan dengan dikoordinasikan dengan pihak polis supaya tindakan bersama akan membawa hasil yang lebih baik untuk pastikan keamanan di Esszone," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Kenduri Rakyat Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) hari ini.

Nur Jazlan berkata demikian semasa mengulas kenyataan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini yang mempertikai peranan anggota RELA di Esszone. dan menganggap pasukan itu tidak layak untuk diletakkan di kawasan itu.

Jelasnya lagi, tindakan Mohd Shafie Apdal yang 'tidak akan meminta maaf' kerana mempertikaikan sumbangan anggota RELA, hanya akan 'dihukum' oleh anggota RELA sendiri.

"Beliau tidak akan mendapat sokongan daripada tiga juta ahli RELA yang merasa tersinggung kerana kenyataan beliau.

"Tidak payah lagi kita nak menghukum dia lebih lagi. Ini jelas bahawa beliau seorang pemipin yang tidak mementingkan hati rakyat dan tidak bersimpati pengorbanan anggota RELA," jawabnya.