Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua perlu menyelesaikan dahulu isu yang dihadapinya dalam siasatan polis dan menjawab mengenai skandalnya yang mencemarkan proses Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Kenyataan daripada syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Sabtu itu merujuk kepada desakan Tony agar 1MDB menafikan dakwaan Wall Street Journal (WSJ).

“Ternyata Tony Pua telah lupa mengenai penafian jelas yang dibuat oleh 1MDB pada tarikh 9 dan 18 September 2015,” kata kenyataan itu.

1MDB juga hairan apabila Tony tidak mengambil kira fakta umum bahawa International Petroleum Investment Company (IPIC) sememangnya dan masih menjadi penjamin kepada dua bon 1MDB bernilai AS$3.5 bilion.

Perkara itu, menurut 1MDB, sudah dijelaskan sejurus WSJ menyiarkan artikel pada 9 September 2015 yang menyebut tentang deposit bernilai AS$1.4 billion pada tahun 2012.

Selain itu, WSJ sekali lagi menyiarkan artikel berniat jahat dan salah pada 18 September 2015 yang menyentuh tentang ‘deposit 1MDB berjumlah AS$1 bilion’, sedangkan aset-aset syarikat tenaga itu sudahpun ditamatkan.

“Kepada Tony Pua, dua fakta tersebut sudah menjawab semuanya. Maklumat itu juga boleh diperoleh umum.

1MDB juga tertanya-tanya kenapa Tony tidak terkesan langsung dengan laporan yang menyatakan bahawa WSJ ‘telah menilai dokumen-dokumen dalam siasatan PAC’, kerana itu ternyata satu skandal yang melanggar undang-undang Malaysia.