Bertenang... Sebuah bangunan tinggi di tengah-tengah ibu negara, yang ditularkan di media sosial pada Isnin sebagai binaan yang 'senget dan akan tumbang', sebenarnya tidak akan terjadi sebegitu.

Penerima gambar berkenaan di media sosial, tanpa membuat rujukan dan pemeriksaan fakta, akan mudah terpedaya dengan penerangan yang mendakwa bangunan kediaman berservis YOO8 itu akan tumbang dan menyebabkan kesesakan lalu lintas di ibu negara.

Pengarah Urusan KSK Land dan Ketua Pegawai Eksekutif KSK Group Joanne Kua dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI memaklumkan gambaran struktur Menara B bangunan berkenaan sememangnya dibina mengikut reka bentuk sedemikian.

Projek 8 Conlay yang direka oleh RSP Architects KL itu difahamkan sebagai bangunan kediaman berservis dan bersilang, serta berkembar dan tertinggi di dunia oleh Kempinski.

Jelasnya, reka bentuk unik bangunan terbabit akan kelihatan condong jika diambil gambar dari sudut berbeza.

Bagaimanapun, KSK Land yang merupakan pemaju projek 8 Conlay itu ujarnya, memaklumkan jaminan dari sudut keselamatan dan kesihatan sentiasa dititikberatkan sepanjang pembinaan struktur itu.

Gambar sebuah bangunan yang dilihat senget tular di laman sosial dan mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai khususnya berada di kawasan berkenaan.



Bagaimanapun Astro AWANI ketika menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan tiada laporan diterima berhubung kes itu ketika ini.

Pihaknya telah bertemu dengan pengurus keselamatan di lokasi projek berkenaan dan mengesahkan pembinaan struktur bangunan itu mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim memaklumkan pihaknya sedang menyiasat penularan gambar berkenaan.