ANTARA pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat, 28 Ogos 2020.

1) Tempoh PKPP dilanjut sehingga 31 Disember

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.

2) Akta 342: Tiada siapa terkecuali dan akan dikenakan hukuman setimpal jika ingkar - PM

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tiada sesiapa terkecuali daripada peraturan kuarantin ditetapkan kerajaan dan pihak yang melanggarnya akan dikenakan hukuman setimpal.

3) COVID-19: 8 kes import, dua penularan dalam negara - Dr Noor Hisham

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada lapan kes import itu, tujuh kes melibatkan bukan warganegara dan seorang warga tempatan.

4) Pengembara dari Indonesia tiba di Malaysia catat kes positif tertinggi COVID-19

Seramai 904 daripada 106,793 individu yang tiba di Malaysia melalui pintu masuk antarabangsa dikesan positif COVID-19, dengan kes dari Indonesia merekodkan bilangan tertinggi.

5) 'Saya tidak buat salah ...' - Khairuddin sahkan dua jam disoal siasat

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali mengesahkan disoal siasat selama dua jam oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Khamis malam berhubung kegagalan mematuhi kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara, 7 Julai lalu.

6) Muafakat Nasional untuk semua kaum, kata Ketua Penerangan UMNO kepada Ku Li

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyanggah kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah yang menganggap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak layak berada dalam Muafakat Nasional kerana membuka keahlian kepada bukan Melayu.

7) PRN Sabah: Polis Sarawak akan bantu jika perlu

Polis Sarawak akan dihantar sekiranya ada keperluan untuk membantu memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September ini.

8) Terowong, jambatan sudah dibina tapi monorel masih tiada di Putrajaya - Annuar Musa

“Infrastruktur monorel sudah dibina, jambatannya sudah ada, terowong pun ada tapi monorelnya tiada,” kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengenai masalah pengangkutan awam di Putrajaya.

9) PRU15 mungkin tahun ini atau awal 2021, kata Presiden Pas

Pas tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal berlangsung pada tahun ini atau awal tahun hadapan.

10) Keuntungan TNB menyusut 46.7 peratus

Keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan Tenaga Nasional Berhad (TNB) susut 46.7 peratus kepada RM1.41 bilion pada Separuh Pertama Tahun Kewangan 2020 berbanding RM2.65 bilion dalam tempoh sama pada tahun lepas.