ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat, 10 Julai 2020.

1) COVID-19: Kes positif kembali dua digit dengan 13 kes baharu

Kes positif COVID-19 di negara ini kembali kepada dua digit selepas terdapat penambahan 13 kes baharu positif COVID-19 yang dilaporkan di negara ini pada Jumaat menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini adalah 8,696 kes.

2) PKRC MAEPS, Serdang ditutup secara rasmi 15 Julai ini

Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah MAEPS (PKRC), Serdang akan ditamatkan operasinya secara rasmi pada 15 Julai ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba telah menyaksikan proses pesakit terakhir discaj pada Jumaat.

3). Kes Adib: Polis cadang tubuh pasukan kajian semula, cari seorang saksi yang meyakinkan

Polis akan mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mewujudkan sebuah pasukan kajian semula bagi meneliti keterangan saksi termasuk dua pakar perunding kanan patalogi berhubung kes kematian arwah Muhammad Adib Mohd Kassim, dua tahun lalu.

4) Kes bunuh Kevin Morais: Enam individu ke tali gantung

Enam individu dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi di sini mensabitkan mereka dengan kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, lima tahun lalu.

5) 205 rakyat Malaysia di Chennai dan Arab Saudi selamat tiba di tanah air

Seramai 102 rakyat Malaysia di Chennai, India dan 103 rakyat Malaysia di Arab Saudi selamat pulang ke tanah air pada 8.10 malam semalam dan 12:00 tengah hari tadi.

6) Bola sepak, antara kejohanan fizikal yang dibenarkan mulai 15 Ogos ini

Penantian peminat bola sepak negara akhirnya termakbul selepas kerajaan hari ini membenarkan sukan kegemaran ramai itu bermula 15 Ogos ini.

Sukan tersebut merupakan antara aktiviti kejohanan dan pertandingan yang dibenarkan tanpa membabitkan penonton, dan ia perlu dilangsungkan di peringkat negara sahaja.

7) Kehadiran majlis sosial, agama dan rasmi tidak lagi 250 orang mulai 15 Julai

Penganjuran majlis sosial, agama dan rasmi tidak lagi dihadkan kepada 250 orang bermula 15 Julai ini, demikian kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Sebaliknya, kerajaan bersetuju menetapkan had maksimum diselaraskan mengikut kapasiti ruang serta pematuhan penjarakan sosial.

8) To'ki akhirnya terima kunci rumah

Kesukaran hidup penyanyi To’ki, 53, yang tular di media sosial minggu lalu selepas pendedahan Astro AWANI, kini dipermudahkan apabila bantuan kediaman yang dijanjikan oleh Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ), diterima pada Jumaat.

9) Sibu tuan rumah Hari Malaysia 2020

Sibu dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia 2020. Ini sekaligus menjadikan negeri Sarawak sebagai tuan rumah sambutan tersebut buat kali kedua berturut-turut selepas sambutan di Stadium Perpaduan, Kuching, 16 September 2019.

10) Bantuan Khas RM600 kepada pemandu bas sekolah diluluskan - Menteri Pengangkutan

Kerajaan telah meluluskan bantuan khas RM600 seorang kepada 35,000 pemandu bas sekolah yang layak di seluruh negara.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ia melibatkan peruntukan berjumlah RM21 juta.