ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Khamis, 9 Julai 2020.

1) COVID-19 di Malaysia: Tiga kali tiada penularan tempatan, kematian kekal 121

Situasi COVID-19 di negara ini terus menunjukkan perkembangan positif selepas menyaksikan buat kali ketiga Malaysia tidak mencatatkan sebarang kes penularan tempatan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, enam kes baharu direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 8,683 kes.

2) Kluster Syarikat Pembersihan Kuala Lumpur diisytihar tamat

Kluster Syarikat Pembersihan Kuala Lumpur diisytiharkan tamat pada hari ini selepas tiada sebarang jangkitan COVID-19 dikesan membabitkan kluster tersebut.

3) PM cadang pendidikan Rukun Negara dijadikan agenda teras kerajaan

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar pendidikan Rukun Negara dijadikan agenda teras kerajaan.

4) Remaja 17 tahun jadi mangsa rogol bapa saudara

Seorang remaja perempuan berumur 17 tahun menjadi mangsa rogol kepada bapa saudaranya dalam kejadian di Merotai, Tawau, Sabah sejak dua tahun lalu.

5) Tahap pematuhan SOP PKPP di masjid, surau memuaskan - Zulkifli

Tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di masjid serta surau di seluruh negara dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) setakat ini adalah memuaskan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

6) Pelajar tingkatan 4, 6 asrama penuh kembali bersekolah pada 15 Julai - KPM

Pelajar tingkatan empat dan enam semester satu tahun 2020 di sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), akan meneruskan sesi persekolahan pada 15 Julai ini.

7) Bersatu boleh semak dan imbang UMNO dalam Perikatan Nasional

Kehadiran Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Malaysia perlu dilihat oleh rakyat sebagai pemegang peranan semak dan imbang UMNO dalam pentadbiran negara, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersati, Wan Mohd Shahrir Wan Abdul Jalil.

8) Teringin makan 'roti canai ular'? Ayuh ke Kota Bharu...

Pelbagai cara digunakan untuk menarik minat pelanggan terhadap sesuatu makanan terutamanya juadah yang popular serta menjadi pilihan sebilangan besar rakyat Malaysia.

Sekalipun, cara yang digunakan nampak menggelikan di mata orang ramai, namun bagi penebar roti canai dari Kampung Kubur Kuda, di sini, dia memilih menyediakan juadah makan pagi yang sangat popular itu berbentuk ular.

9) Cradle Fund: Mayat Nazrin ada kesan terkena haba - Pegawai Perubatan

Seorang pegawai perubatan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa terdapat kesan haba pada tubuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, yang dijumpai mati dalam kebakaran di rumah mangsa, pada 14 Jun 2018.

10) Astro AWANI muncul aplikasi berita paling banyak dimuat turun di Google Play Store di Malaysia

Astro AWANI terus mengekalkan reputasinya sebagai sumber berita paling dipercayai di negara ini apabila ia menjadi aplikasi berita paling tinggi dimuat turun di Google Play Store di Malaysia.