ANTARA pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat, 5 Jun, 2020.

1) Ahli Parlimen Lubok Antu keluar PKR, ikrar sokong Muhyiddin, Abang Johari

Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat @ Jugah Muyang hari ini mengumumkan keluar PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

2) Dr Mahathir dakwa kerajaan guna SPRM beri tekanan kepada pembangkang

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi tekanan kepada pihak pembangkang.

3) COVID-19: KKM mungkin akan wajibkan suntikan vaksin, jika ditemui

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkemungkinan akan mewajibkan suntikan vaksin COVID-19 kepada semua, sekiranya ia ditemui.

4) Tiada laporan rakyat Malaysia terlibat atau cedera akibat rusuhan di AS

Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia cedera akibat rusuhan di lebih 70 buah bandar di Amerika Syarikat (AS) susulan kematian George Floyd.

5) RON97, RON95 naik 5 sen, diesel naik 2 sen seliter

Harga bagi setiap liter RON97 dan RON95 naik lima sen manakala diesel pula naik dua sen bagi tempoh 6 hingga 12 Jun 2020.

6) Galakan elaun cukai pelaburan 100 peratus bagi syarikat pindahkan kilang ke Malaysia

Syarikat sedia ada di Malaysia yang memindahkan fasiliti pengilangan luar negara ke negara ini layak mendapat galakan elaun cukai pelaburan sebanyak 100 peratus bagi tempoh lima tahun.

7) Kerajaan terbitkan Sukuk Prihatin bernilai RM500 juta - Muhyiddin

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan menerbitkan Sukuk Prihatin bernilai RM500 juta pada suku ketiga tahun ini.

Bertemakan “Daripada Rakyat, Kepada Rakyat”, dana yang terkumpul itu akan disalurkan untuk membantu pembiayaan perniagaan perusahaan mikro.

8) Rang Undang-Undang COVID-19 (Langkah Sementara) digubal Julai ini

Kerajaan bersetuju untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) COVID-19 (Langkah Sementara) sebagai pelepasan sementara daripada tanggungjawab perjanjian bagi suatu tempoh yang ditetapkan.

9) Ahmad Idham dilantik semula sebagai CEO FINAS

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengumumkan pelantikan semula Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS yang baharu.

10) CEO Petronas letak jawatan?

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dilaporkan meletak jawatan dan bakal diganti dengan seorang profesional, menurut sumber.