Penguatkuasaan kerajaan dalam mengawal penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19 nampaknya membuah hasil selepas tiada pertambahan kes siasatan baharu dalam tempoh dua bulan.

Bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menilai beberapa laporan yang diterima berkenaan berita palsu mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Tegas beliau, PDRM dan MCMC akan terus membuat pemantauan ketat terhadap penyebaran berita palsu.

Katanya, kerajaan memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap tindakan tersebut.

Setakat Sabtu, Ismail Sabri berkata sebanyak 266 kertas siasatan telah dibuka oleh PDRM dan MCMC berhubung berita palsu berkaitan COVID-19.

Daripada jumlah itu, sebanyak 172 masih dalam siasatan dan 30 kes telah didakwa di mahkamah.

Sementara itu, sebanyak 12 lagi diberikan notis amaran, 13 dalam proses perbicaraan serta 17 mengaku bersalah, tambahnya.

Pada masa yang sama, sebanyak 352 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) MCMC.

Justeru beliau mengingatkan orang ramai agar berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan boleh menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-8911 5103 atau layari WWW.SEBENARNYA.MY untuk menyemak kesahihan berita.