Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian menjelaskan bahawa pemergiannya ke Pulau Batam Indonesia di tengah-tengah isu pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang adalah urusan kerja yang telah dirancang sebelum ini dan merupakan persediaan bagi Tahun Melawat Johor 2020.

Beliau berkata lawatan kerja itu bertujuan meningkatkan rangkaian kerjasama di antara penggerak industri pelancongan atau pelabur Johor dengan penggerak industri Indonesia khususnya di Pulau Batam.

"Lawatan kerja ini pada asalnya adalah selama tiga hari namun ia telah dipendekkan hingga kurang sehari atas keperluan mendesak untuk mengurus operasi pembersihan di Pasir Gudang.

"Saya juga telah membatalkan beberapa sesi pertemuan lain ketika sesi lawatan kerja, namun beberapa mesyuarat penting yang tidak dapat dielakkan terpaksa dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Osman mendapat kecaman daripada pelbagai pihak kerana melakukan lawatan berkenaan semasa isu pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang itu dilihat masih belum selesai.

Osman berkata sepanjang berada di Batam, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana sentiasa berhubung dengannya setiap jam untuk memastikan segala keperluan dan operasi mengawal bencana terus berjalan lancar dan teratur.

"Saya amat berterima kasih kepada semua kakitangan dan agensi yang gigih berkerja 24 jam tanpa henti bagi mengurus dan mengawal operasi bencana ini.

"Terima kasih juga kepada Wali Kota Batam Muhammad Rudi kerana memahami sebab mengapa beberapa sesi lawatan dan mesyuarat terpaksa dibatal dan dipendekkan kerana bencana di Pasir Gudang. Malah, mereka juga melahirkan rasa sedih atas kejadian ini," katanya.

Justeru itu beliau berharap, penjelasan ini dapat merungkai salah faham atau kekeliruan di kalangan rakyat mengenai perkara itu.