Polis masih menunggu keputusan dan arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung kejadian pelajar junior dibelasah pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) Rabu lalu.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata, tindakan sama ada untuk mendakwa pihak terbabit atau tidak bergantung kepada arahan berkenaan.

“Kita pertimbangkan kes itu. Kita akan selesaikan dengan cara baik, sebaik mungkin. Pihak ketua polis daerah dan pegawai perhubungan sekolah juga telah membuat perjumpaan dengan pengetua sekolah tersebut.

"Perbincangan telah dibuat untuk kita pastikan perkara ini tidak berulang lagi,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Ekosistem Kondusif Sektor Awam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perlis di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini.

Pada Ahad, media melaporkan, tiga pelajar Tingkatan Dua sebuah SBP di Perlis telah dibelasah sekumpulan lima pelajar Tingkatan Lima dari sekolah sama.

Akibat kejadian itu, tiga mangsa mengalami lebam-lebam di bahagian tangan dan anggota badan.

Insiden yang berlaku dalam kawasan tempat makan sekolah terbabit pada jam 11 malam Rabu itu dipercayai berpunca daripada pelajar senior yang tidak berpuas hati dengan pelajar junior yang kononnya tidak menghormati mereka.

Bagaimanapun, dua suspek yang ditahan pada hari sama kejadian dibebaskan dengan jaminan polis sejak hari pertama mereka ditahan.

Manakala, tiga lagi suspek kini sedang bercuti selepas mendapat kebenaran pihak sekolah.