Kerajaan mengumumkan peruntukan RM810 juta khususnya untuk kebajikan masyarakat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Ketika membentangkan Belanjawan 2020, Guan Eng berkata, peruntukan itu diberikan menerusi lima program.

Prpgram pertama, kata beliau ialah, RM250 juta bagi meningkatkan pendapatan 11,600 orang peneroka manaka program kedua sbeanyak RM300 juta untuk menghapus kira faedah pinjaman peneroka.

Tidak ketinggalan, Guan Eng mengumumkan RM100 juta untuk menaik taraf bekalan air di tanah-tanah rancangan FELDA dan peruntukan RM70 juta untuk perumahan generasi baharu peneroka FELDA.

Kerajaan turut mengumumkan RM90 juta untuk menaik taraf jalan dan infrastruktur asas di kawasan FELDA.

Sementara RM738 juta disediakan kerajaan untuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) untuk melaksanakan pelbagai program penjanaan pendapatan yang akan memberi manfaat kepada lebih 300,000 pekebun kecil RISDA dan 100,000 peserta FELCRA.