Program Subsidi Petrol (PSP) untuk setiap penerima BSH (B40) adalah sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan, subsidi itu akan diberi dalam bentuk pemindahan tunai dan akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan.

Katanya, pembayaran pertama akan dibuat pada April 2020 bagi tempoh Januari sehingga April 2020.

"Bagi semua pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH, mereka akan menerima Kad95 yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen perliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal.

"Kad95 akan dilaksanakan secara berperingkat pada suku pertama 2020. Apabila skim subsidi bahan api ini dilaksanakan, harga runcit RON95 dan diesel akan diapungkan secara beransur-ansur.

"Ini akan mengurangkan ketirisan dan penyeludupan bahan api bersubsidi rentas sempadan yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit di pihak Kerajaan," katanya semasa pembentangan Belanjawan 2020 yang di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Jelasnya, subsidi layak diberikan sekiranya harga pasaran RON95 yang ditentukan oleh Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) melebihi RM2.08 seliter dan tiada subsidi akan diberikan sekiranya harga berada di bawah RM2.08 seliter.

Untuk itu jelas Guan Eng, Kerajaan akan memperuntukkan RM2.2 bilion bagi skim PSP yang akan memberi manfaat kepada kira-kira lapan juta pemandu.

"Pemandu kenderaan di Sabah dan Sarawak akan terus menikmati siling harga petrol bersubsidi pada RM2.08 untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel.

"Sekiranya Kerajaan Sabah dan Sarawak ingin menyertai PSP ini, maka kerajaan bersedia menerima permintaan mereka," ujarnya.