Tourism Malaysia berharap Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan pada 2 November depan menyediakan peruntukan bagi promosi luar negara memandangkan kedatangan pelancong asing ke negara ini yang tidak memberangsangkan tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia yang menanggung tugas Ketua Pengarah Datuk Seri Abdul Khani Daud berkata untuk tahun 2018, Tourism Malaysia tidak diberikan peruntukan untuk promosi sedangkan ia merupakan "national tourist organisation."

Abdul Khani berkata kempen yang tidak dilakukan secara berterusan berisiko menyebabkan pelancong lupa kepada Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan yang terbaik di dunia selain hilang minat.

Menurutnya, Malaysia memulakan kempen Malaysia Truly Asia pada 1999 dan merupakan negara paling awal di rantau ASEAN yang melaksanakan promosi sedemikian.

"Tetapi kini negara ASEAN yang lain telah memintas kita telah memperlahankannya (promosi )," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Tourism Malaysia di Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan di sini pada Khamis.

Abdul Khani berkata Malaysia pernah berada pada kedudukan kesembilan dalam senarai negara yang paling ramai dilawati di dunia namun kini berada pada kedudukan ke-14.

Sektor pelancongan menyumbang kepada ekonomi negara dan tahun lepas menjana pendapatan mencecah RM82 bilion, katanya.

Mengulas persetujuan Malaysia dan Thailand membuka pintu sempadan 24 jam sehari yang dicapai pada lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Thailand, Abdul Khani berkata ia merupakan peluang kepada Malaysia untuk menarik pelancong warga Thailand dan pelancong asing yang melawat negara Gajah Putih tersebut.

Menurutnya, pada masa ini daripada jumlah keseluruhan 80 juta penduduk Thailand hanya 1.9 juta warga Thailand yang melawat Malaysia.

"Promosi boleh diadakan untuk menggalakkan pelancong asing yang melawat Thailand supaya melawat negeri-negeri di utara seperti Kedah dan Perak,"katanya.

-- BERNAMA