Bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa lagi untuk kali ketiga hari ini di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan membabitkan RM276,400.

Pertuduhan dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Tertuduh, Sabudin Mohd Salleh, 58 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim S Indera Nehru.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa menggunakan RM108,000 melalui lima keping cek yang telah ditunaikan ke dalam akaun di Agro Bank milik Sky Active Agro Farm untuk tujuan pembelian 40 ekor lembu, dan wang tersebut merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan didakwa dilakukan di Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Seri Iskandar, antara 5 dan 29 April 2019.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menggunakan wang tunai RM147,400 melalui lima traksaksi untuk membeli 51 ekor lembu daripada Mohamed Yusof Yasin, dan wang tersebut merupakan hasil aktiviti haram.

Ia didakwa dilakukan antara 1 dan 29 April 2019 di No 1961, Kampung Tersusun Batu 3, Kampar.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Sabudin didakwa menggunakan wang tunai RM 21,000 melalui dua traksaksi sebagai pendahuluan pembelian 18 ekor lembu daripada Abdul Razak Abdul Rani.

Wang tersebut merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan dilakukan antara 10 April dan 6 Mei 2019 di Kampung Teluk Bakong, Lambor Kanan.

Bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan pada masa kesalahan berkenaan dilakukan, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari untuk tarikh pengurusan kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Aiman Abdul Rahman

Pada Rabu, Sabudin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan membabitkan lebih RM1 juta bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sebelum itu, pada Selasa, Sabudin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.08 juta, dua tahun lalu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dihadapinya.