Bekas pengurus bahagian perolehan di syarikat Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 22 pertuduhan menerima suapan yang keseluruhannya berjumlah RM44,700 daripada pemilik syarikat kontraktor, empat tahun lalu.

Pengakuan tertuduh, Sani Khan Ali Khan, dari Sungai Isap Damai di sini, direkodkan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Sani Khan, 44, didakwa menerima suapan daripada Chong Wei Peng iaitu wang berjumlah RM1,200 hingga RM4,200 melalui 22 kali pemindahan dalam akuan miliknya yang bernilai keseluruhan RM44,700.

Suapan itu diberikan oleh Wei Peng kepada Sani yang ketika itu bekerja pengurus perolehan PAIP sebagai balasan untuk memberikan kerja-kerja pengurusan Air Pahang kepada syarikat yang dikawalselia olehnya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh Sani Khan di RHB Bank Berhad cawangan Jalan Air Putih, Kuantan antara 6 Julai 2017 hingga 18 Disember 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen ini, penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikuti mana-mana yang lebih tinggi.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat menawarkan ikat jamin RM20,000 bagi kesemua 22 pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh.

Beliau juga mahu mahkamah mempertimbangkan syarat tambahan iaitu Sani perlu melapor diri di Pejabat SPRM Pahang pada minggu pertama setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga perbicaraan kes selesai.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Sani, Dir Kheizwan Kamaruddin dalam prosiding terbabit memohon mahkamah mengurangkan kadar ikat jamin yang ditawarkan pihak pendakwaan.

Dir Kheizwan berkata, jumlah itu cukup membebankan memandangkan anak guamnya masih menanggung tiga anak yang masih bersekolah, selain menyara ibu dan isteri.

Mahkamah kemudian membenarkan Sani diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan kes di sebut semula 20 Februari depan.