Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin hari ini menafikan beliau tahu berhubung pindaan laporan Jabatan Audit Negara berkaitan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jelas Hassan pindaan itu berlaku bukan semasa beliau menjadi Pengerusi jawatankuasa itu.

“Itu bukan masa saya Saya pun tidak tahu apa sebenarnya terjadi. Apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh Timbalan Pengerusi PAC.

"Setahu saya apa yang dibentangkan, itulah yang dibentangkan,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut Hasan meminta penjelasan daripada pengerusi PAC, Ronald Kiandee.

"Itu saya tak pasti. Dakwaan itu tidak dijelaskan dengan betul. Kita minta Pengerusi PAC untuk jelaskan," katanya lagi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas persoalan sama ada pindaan itu berlaku sebelum beliau mengambil alih jawatan Pengerusi PAC tersebut seperti mana didakwa Timbalan Pengerusi PAC ,Wong Kah Woh semasa membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 di Dewan Rakyat hari ini.

Kata Wong, pindaan itu dilakukan atas arahan pihak tertentu.

"Isu 1MDB begitu serius bukan sekadar PAC yang lepas gagal buka semula penyiasatan selepas tindakan DOJ.

“Laporan Ketua Audit diklasifisikasikan rahsia rasmi di bawah OSA malah berlaku salah guna kuasa yang mana Laporan Ketua Audit Negara yang asal dipinda dengan arahan oleh sesetengah pihak,” kata beliau lagi.