Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz hari ini mendedahkan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas pernah berhasrat untuk menyelesaikan isu berhubung penyelesaian hutang tertunggak oleh bank pelaburan Goldman Sachs Group Inc di luar mahkamah.

Tengku Zafrul berkata syor itu dikemukakan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam surat bertarikh 11 Feb 2020.

“Kita mempunyai rekod yang menunjukkan bahawa pada 13 Dis 2019, kerajaan terdahulu (Pakatan Harapan) telah menawarkan penyelesaian US$4 bilion kepada Goldman Sachs, tetapi tawaran itu telah ditolak oleh Goldman Sachs, sebaliknya mereka telah memberi tawaran balas iaitu hanya US$1.5 bilion.

“Yang terkini dan belum pernah dikongsi sebelum ini ialah surat bertarikh 11 Feb 2020, Tan Sri Tommy Thomas telah memaklumkan kepada mantan perdana menteri bahawa Goldman Sachs bersetuju menaikkan tawaran mereka kepada US$1.75 bilion.

“Jumlah ini termasuk juga bayaran cukai US$164 juta dan pemulangan yuran sebanyak US$567 juta. Syor yang diberi mantan peguam negara dalam surat tersebut adalah untuk mencari penyelesaian di luar mahkamah ...pada waktu itu, bekas Peguam Negara turut menawarkan penyelesaian (di luar mahkamah) dengan Goldman Sachs.

“...oleh itu adalah licik untuk beliau menyatakan bahawa kami (Perikatan Nasional) tidak sepatutnya lakukan apa yang beliau sebenarnya mahu lakukan terlebih dahulu,” katanya semasa menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

- BERNAMA