Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir perlu menjelaskan dan bertanggungjawab terhadap peningkatan mendadak kos pembangunan dan pembinaan Movie Animation Park Studios (MAPS) daripada RM390 juta kepada RM607 juta, kata Pengerusi Jawatankuasa Audit Perak Corporation Bhd (PCB), Chong Zhemin.

Beliau berkata walaupun audit dalaman khas mengenai projek itu baru-baru ini mendapati tiada sebarang bukti kukuh bagi salah laku atau penipuan, namun wujud persoalan berkaitan beberapa keputusan dan perjanjian berat sebelah yang boleh dibangkitkan.

"Sebagai bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, beliau (Zambry) mempunyai kawalan langsung ke atas PCB, PCB Development Sdn Bhd (PCBD) serta Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), dan seharusnya menjelaskan dan bertanggungjawab penuh atas peningkatan kos MAPS.

"Ini amat mengejutkan kerana RM607 juta itu mewakili 57.21 peratus daripada Belanjawan Negeri Perak 2019 yang berjumlah RM1.06 bilion," katanya dalam sidang media mengenai audit khas ke atas pembinaan dan pembangunan MAPS di sini, pada Sabtu.

Chong juga meminta anggota Dewan Undangan Negeri Pangkor itu menjelaskan mengapa beliau (Zambry) membenarkan PCBD, yang memiliki 51 peratus kepentingan dalam ATP, menjadi satu-satunya pihak yang bertanggungjawab terhadap penambahan pembiayaan MAPS dengan meluluskan tiga perjanjian pendahuluan pemegang saham berjumlah RM250 juta.

"Daripada RM250 juta itu, PCBD telah mendahulukan pembayaran RM198 juta kepada ATP, dengan tambahan bayaran pendahuluan RM6.2 juta daripada PCB kepada ATP.

"Bagaimanapun, RSG Maps Sdn Bhd (RSGM), yang memegang 49 peratus kepentingan dalam ATP, hanya membayar RM6.25 juta kepada ATP," katanya.

Chong berkata laporan dalaman itu juga menunjukkan bahawa kos projek sebanyak RM413 juta daripada RM607 juta telah dibayar secara langsung sama ada, dalam bentuk pendahuluan atau pembayaran, kepada Sanderson Design Group (Malaysia) Sdn Bhd (SDGM), kontraktor utama MAPS.

Beliau berkata SDGM kini berada dalam kuasa penerima dan mesyuarat pemiutang yang telah dipanggil pada Mei 2018 oleh penyelesai yang dilantik mendedahkan bahawa syarikat itu hanya mempunyai baki RM1,500 dalam akaun banknya.

"Saya bersetuju dengan pandangan audit dalaman mengenai akaun dan rekod SDGM adalah penting untuk menentukan aliran keluar tunai daripada SDGM.

"Saya akan membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri pada Khamis ini dan mencari penjelasan mengenainya," katanya.

-- BERNAMA